SEBERANG JAYA – Projek menaik taraf bangunan tambahan Hospital Seberang Jaya (HSJ) dijangka siap hujung tahun ini selepas mengalami kelewatan beberapa tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek tersebut telah bermula agak lama dan dijangka siap juga kali ini.

Selain itu, Anwar juga mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta untuk keperluan mendesak HSJ bagi menaik taraf bangunan dan kemudahan sedia ada.

“Saya telah diberi taklimat mengenai keadaan hospital ini dan saya telah teliti beberapa keperluan terdesak yang memerlukan bantuan khas.

“Bagi beberapa permintaan mendesak di HSJ saya luluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk  penambahan ventilator, tangki air, kemudahan ultra-sound serta bilik penyusuan ibu.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada kakitangan dan staf yang bekerja bertungkus-lumus walaupun dalam keadaan sesak,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke HSJ di sini hari ini.

Menerusi sesi lawatan tersebut, Anwar sempat meluangkan masa bagi sesi  pembentangan profil dan taklimat secara tertutup.

Beliau turut melakukan lawatan ke wad ortopedik lelaki dan jabatan kecemasan hospital berkenaan.

Projek menaik taraf HSJ yang menelan kos hampir RM500 juta, telah dimulakan pada tahun 2016, bagi menambah kemudahan katil, unit rawatan rapi dan ruang parkir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast