Showcase Artis Lagenda akan diadakan pada 1 Jun depan.

KUALA LUMPUR – Hotel Grand Barakah Ampang bakal menjadi saksi kepada sebuah Showcase Amal Artis Legenda yang bertujuan membantu golongan anak seni serta bekas pengamal media yang memerlukan bantuan.

Penganjur showcase, Nizam Laksamana Production yang diterajui oleh penyanyi, Nizam Laksamana berharap persembahan dapat direalisasikan menerusi jualan meja sebelum 1 Jun depan untuk menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser.

Beliau berkata, selain dirinya, tetamu akan dihiburkan dengan nyanyian rakan-rakan artis lain seperti Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann.

“Penganjuran showcase kali ini adalah yang terakhir akan dibuat berikutan ‘semangat’ pudar untuk menjayakan showcase yang sudah memasuki edisi keempat ini.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah alhamdulillah kerana penganjuran showcase 4.0 tetap mendapat sambutan walaupun sedikit perlahan jika dibandingkan penganjuran showcase 1.0, 2.0 dan 3.0.

“Pernah ada pihak mengatakan saya mengaut keuntungan dengan menganjurkan showcase ini walaupun pada dasarnya tiada gaji pun bersama pasukan saya. Permohonan dana pun pernah ditolak walaupun dah melalui proses pitching,” katanya.

Hotel Grand Barakah, Ampang bakal menjadi saksi kepada sebuah Showcase Amal Artis Legenda.

Nizam menambah, persembahan itu bukan semata-mata hiburan sebaliknya adalah tempat perjumpaan antara peminat dengan penyanyi kegemaran mereka.

Jelas beliau, selepas acara selesai, peminat berpeluang untuk beramah mesra dengan artis yang terlibat.

“Saya pernah juga terucap perkataan ‘batal’ sahaja kerana pandangan serong sesetengah pihak serta janji-janji manis yang ditabur golongan korporat bagi menaja penganjuran showcase.

“Namun atas motivasi dan sokongan pasukan showcase ini serta pihak media membuatkan saya meneruskan juga matlamat yang telah dirangka.

“Menambahkan lagi sebak di dada apabila tiga orang sahabat yang pernah menyertai showcase ini telah pergi meninggalkan kita iaitu arwah Gmie Screen, Tia Jinbara dan Ibnor Riza,” katanya.

Penyanyi, Zamani Slam.

Nizam memberitahu, sebahagian kutipan jualan meja dan sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Cancer Survivors Malaysia satu badan NGO yang aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser.

Selain itu sebahagian kutipan juga akan disalurkan kepada penggiat seni dan bekas pengamal media yang kini disenaraikan seramai 20 orang.

Menyentuh mengenai persembahan Showcase Amal Artis Legenda 4.0, Nizam merancang satu naratif muzik kerana setiap penyanyi mewakili genre dan zaman kegemilangan masing-masing walaupun dengan menggunakan minus-one atau pub iringan gitar akustik.

“Sesungguhnya saya beruntung kerana mendapat rakan-rakan artis yang sama-sama bersemangat untuk menjayakan showcase ini. Bagi mereka, inilah cara untuk membantu orang lain,” ujarnya.

““Harapan saya agar showcase terakhir ini akan membuka mata pada rakan-rakan yang lain yang boleh buat dan membantu, bersama kita bersolidariti membantu penggiat seni.

“Keduanya, yang ada kesenangan dan kemampuan seperti syarikat sepatutnya boleh datang untuk memberi tajaan kepada program begini,” katanya. – MalaysiaGazette

Mawi.