SKOP MG bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  tidak perlu campur tangan atas dakwaan ahli Parlimen pembangkang mengenai tawaran ada menerima habuan.

Beliau yang juga bekas Menteri Dalam Negeri itu berkata, ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu pun kerajaan termaktub dalam Akta Kuasa dan Keistimewaan Ahli Parlimen 1952 yang menetapkan bahawa ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti di Dewan Rakyat.

“SPRM kena faham kita ada Akta 345 ikut Akta Ahli Parlimen jadi SPRM tidak boleh masuk campur.

“Dia nak kata seminggu atau dua minggu dia (Wan Saiful) nak buat laporan (kepada SPRM) itu (terpulang) bila-bila masa dan sampai masa dia buatlah laporan,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Wakil Rakyat Perikatan Nasional di sini hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Hamzah mengulas pertanyaan media mengenai pendedahan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang  menerima tawaran habuan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPRM sebelum ini memberikan tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil membuat laporan berhubung pendedahan beliau.

Wan Saiful membuat pendedahan tersebut ketika perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah. – MalaysiaGazette