KUALA SELANGOR – Bukan kali pertama bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengenakan baju Perikatan Nasional (PN), apatah lagi menjadi tular ketika menghadiri konvensyen parti itu, semalam.
Sebaliknya Noh berkata, tindakannya memakai kemeja korporat parti pembangkang bermula sejak Pilihan Raya Negeri ke-15 di Selangor dan beliau sempat berkempen untuk PN.
“Bagi saya bukan perkara yang luar biasa, sewaktu PRN15, setelah saya dipecat daripada UMNO, saya memang berkempen untuk PN.
“Bila saya pakai baju PN, waktu PRN15 di Selangor, memang saya berkempen dengan pakai baju PN, saya berkempen untuk PN dan saya memang menyokong PN.
“Saya memang menyokong PN, sebab pendirian saya, rumah baharu untuk orang Melayu khususnya yang boleh menggantikan UMNO dan BN ialah PN,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Program Jelajah Badan Perhubungan Negeri (BPN) Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Bahagian Tanjong Karang, di sini, tengah hari tadi.
Semalam, video Noh menghadiri Konvensyen PN di Sunway Pyramid, Petaling Jaya menjadi tular apabila beliau kelihatan mengenakan kemeja berwarna biru dan mempunyai logo PN.
Dalam pada itu, Noh juga berkata, penolakan pengundi Melayu di Parlimen Tanjong Karang kepada Barisan Nasional semakin ketara dalam PRN15 lalu dengan peningkatan lebih 10,000 undi kepada PN.
“Terbukti masa PRN baru-baru ini kita lihat penolakan orang Melayu kepada BN memang begitu jelas.
“Waktu PRU15 dulu, PN menang lebih kurang 18,000 undi di kerusi Parlimen Tanjong Karang.
“Bila PRN15 ini, bila campur undi PN Permatang dan Sungai Burong, PN dapat 28,000 undi, lebih 10,000 undi PN dapat daripada PRU15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette