Zakaria Ramli dan rakannya Zahari Sidek, selamat ditemukan di pantai Tanjung Selangor, Pekan.

KUANTAN – Berpantang maut sebelum ajal apabila dua sahabat ditemukan selamat dilaporkan hilang selepas keluar memancing dari jeti di Kampung Baru Beserah sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua sahabat berusia 59 tahun merupakan nelayan telah dijumpai selamat semula oleh orang awam di pantai terbabit kira-kira jam 8 pagi, hari ini.

“Mangsa Zakaria Ramli dan rakannya Zahari Sidek, selamat ditemukan di pantai Tanjung Selangor, Pekan dan dibawa ke jeti nelayan Tanjung Selangor dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

“Hasil temubual dengan kedua-dia mangsa mendapati enjin gagal berfungsi menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke jeti seperti dijadualkan.

“Mangsa menjelaskan kejadian berpunca apabila minyak dalam enjin kehabisan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Zahari berkata, kedua-dua mangsa kemudian memasukkan minyak simpanan namun enjin gagal berfungsi dan tidak dapat dihidupkan.

Difahamkam kedua-dua mangsa tidak melabuhkan sauh bot di laut kerana takut dilanggar kapal besar yang lalu di kawasan terbabit.

Susulan itu mereka membiarkan sahaja bot tersebut hanyut hinggalah bot terdampar di tepi pantai Tanjung Selangor Pekan pada jam lebih kurang 6 pagi.

Terdahulu pada Sabtu dua nelayan terbabit gag dikesan selepas kedua-dua mereka sepatutnya pulang sekitar jam 6 petang, Sabtu. – MalaysiaGazette