Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Moahamad sedang menjalani rawatan daripada jangkitan yang dialami di Institut Jantung Negara (IJN), sejak 26 Januari 2024.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, bagaimanapun keadaan kesihatan beliau semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta staff di IJN.
“Saya harap dalam masa terdekat dapatlah saya pulih semula seperti biasa dan dibenar pulang ke rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, adakala beliau dibenarkan pulang sekejap atau ‘home leave’ oleh pakar, namun beliau tetap perlu bermalam di IJN.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri itu dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Ramadan kepada semua umat Islam khususnya.
Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana dapat bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah, dan kesejahteraan kami berdua,” ujarnya. – MalaysiaGazette