Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kapal tempur pesisir (LCS) pertama negara dijangka menjalani ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut pada November depan sebaik sahaja mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 85 peratus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini pembinaan kapal berkenaan telah siap sebanyak 67.77 peratus berbanding sasaran awal 68.77 peratus.

“Maknanya ada kurang satu peratus tetapi pihak syarikat Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd akan berusaha untuk pastikan kita dapat lakukan mitigasi menangani cabaran ini dan dijangka bulan Jun itu, projek LCS tersebut kembali ke jadual sasarannya.

“Walaupun kapal dah siap 85 peratus tetapi ia masih tidak lengkap kerana belum melalui ujian di laut dan ia akan ambil masa dua tahun untuk ujian berkenaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled lagi, kedua-dua ujian berkenaan mengambil masa selama dua tahun sebelum LCS pertama dijangka ditauliah pada 2026.

Beliau turut menambah kelima-lima kapal LCS yang dibina perlu melalui empat elemen penting iaitu reka bentuk pembinaan, peralatan serta ujian.

Sementara itu, Mohamed Khaled memberitahu, kemajuan pembinaan bagi kapal LCS kedua hingga lima akan turut meningkat menjelang akhir tahun ini.

“Untuk LCS kedua akan capai 78.17 peratus; LCS ketiga (61.48 peratus); LCS keempat (53.40 peratus); dan LCS kelima (42.11 peratus),” ujarnya.

Pada 9 Oktober lalu, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjangkakan kelima-lima kapal akan siap pada 2029 berbanding kontrak asal yang sepatutnya diserahkan pada 2022.

Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam ke lima buah berikutan pembinaan blok LCS 6 masih belum dimulakan dan peralatan yang telah dibeli boleh digunakan pada LCS yang lain

LCS berkenaan memerlukan kos tambahan berjumlah RM2.098 bilion daripada peruntukan asal RM9.128 bilion. – MalaysiaGazette