Bapa panda gergasi, Xing Xing di Zoo Negara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Tempoh pinjaman untuk dua ekor beruang panda iaitu Xing Xiang dan Liang Liang telah dilanjutkan selama setengah tahun.

Sinchew Daily melaporkan, tempoh pinjaman asalnya akan matang pada 20 Mei, tetapi telah dilanjutkan kepada 31 Disember.

Kerajaan berniat memanjangkan tempoh pinjaman selama tiga tahun dan jika tidak dipersetujui, maka China akan meminjam pasangan panda yang baharu.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, sekiranya pinjaman Xing Xing dan Liang Liang tidak dilanjutkan selepas 2024, maka orang Malaysia perlu mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan itu yang kini berumur 18 tahun.

Beliau berkata, beruang panda secara lazimnya boleh hidup sehingga 25 tahun dan Zoo Negara berharap Xing Xing dan Liang Liang dapat tinggal di Malaysia sehingga umur 21 tahun.

“Kami tidak akan meminta mereka untuk berada di Malaysia sehingga umur 25 tahun untuk mengelakkan mereka meninggal di negara ini dan menjadi isu.

“Walaupun kematian itu adalah sesuatu yang akan berlaku tetapi kami mahu cuba mengelakkannya.

“Kematian pernah berlaku di Thailand apabila kerajaannya memohon lanjutan pinjaman selama 10 tahun lagi selepas tempoh pinjaman 10 tahun yang asal sudah matang. Akhirnya, panda itu meninggal di luar China dan menjadi satu isu,” katanya.

Rosly berkata, Xing Xing dan Liang Liang adalah sihat kerana dijaga dengan baik dan diberi makanan dan zat yang mencukupi.

Katanya, pasangan panda itu sudah melahirkan tiga anak dan mereka berpeluang untuk membiak lagi kerana tidak nampak terlalu tua.

Ujarnya, Xing Xing dan Liang Liang merupakan tarikan utama ke Zoo Negara, walaupun anak-anak mereka telah dihantar balik ke China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast