Sayyed Hasan Nasrallah

BEIRUT – Pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata, Israel tidak akan dapat menghapuskan Hamas walaupun ia memasuki Rafah

“Anda telah gagal mencapai mana-mana sasaran perang, malah operasi Rafah tidak akan menawarkan kemenangan kepada anda.

“Anda tidak akan dapat menyingkirkan Hamas atau menentangnya,” kata Nasrallah dalam ucapan yang disiarkan saluran TV tempatan al-Manar.

Kenyataan itu menunjukkan solidariti Hezbollah terhadap Hamas, puak Palestin yang memerintah Gaza.

Nasrallah berkata, Israel telah gagal mencapai “matlamat terbesar” untuk menghapuskan Hamas sejak awal perang lagi.

Selepas hampir enam bulan perang, Israel sedang berunding dengan Hamas melalui pengantaraan.

Beliau mendakwa Hamas sedang berunding bagi pihak semua puak Palestin, dan ia bertujuan untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap Gaza dan bukan sahaja gencatan senjata.

Sempadan Lubnan-Israel telah menyaksikan peningkatan ketegangan sejak 8 Oktober 2023, selepas Hezbollah melepaskan berpuluh-puluh roket ke arah Israel sebagai menyokong serangan Hamas ke atas Israel pada hari sebelumnya, mendorong Israel bertindak balas dengan serangan ke arah tenggara Lubnan . – Agensi