JAKARTA – Usaha bersama antara Indonesia dan Jepun berjaya menemukan sembilan rangka manusia yang dipercayai tentera Jepun ketika Perang Dunia II di daerah Biak Numfor, Papua.
Operasi ini diketuai Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia dengan sokongan Jepun, bertujuan untuk menghormati dan memperingati sejarah bagi mengelakkan konflik masa depan.
“Kesemua rangka itu yang kini berada di Jakarta akan menjalani ujian DNA,” kata Ketua Pengarah Kebudayaan kementerian, Hilmar Farid dalam satu kenyataan.
Inisiatif ini berasaskan perjanjian dua hala yang dimeterai sejak 2019 mengenai penggalian, pengumpulan dan pemulangan rangka tentera Jepun yang terbunuh dalam perang di wilayah Papua dan Papua Barat.
Pengarah pemeliharaan budaya kementerian, Judi Wahjudin menekankan kepentingan operasi ini sambil menggariskan perjanjian yang dilanjutkan hingga 2025 sebagai komitmen terhadap pemeliharaan sejarah dan kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata, penemuan sembilan rangka milik tentera Jepun ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan penempatan besar-besaran puluhan ribu tentera Jepun di kepulauan itu semasa Perang Dunia II.
Tahun 1944 menyaksikan pertempuran sengit antara tentera Jepun dan Amerika, terutamanya di Biak Numfor dan pelbagai kawasan di Papua. – Bernama