Seorang lelaki memijak gambar bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad selepas orang ramai memasuki kediamannya di Damsyik pada 8 Disember 2024. Foto: AFP.

LONDON – Sumber Kremlin mendedahkan muslihat Rusia menyeludup bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad selepas kejatuhan kerajaannya, baru-baru ini.

Tiga sumber memberitahu bahawa Moscow menyelaras rancangan menyelamatkan al-Assad menerusi pangkalan udara Syria dengan menggunakan ‘helah transponder’.

Al-Assad dilaporkan mengarahkan rancangan tersebut dirahsiakan dengan dengan menutup suis ‘transponder’ pesawat peribadi di ibu negara Syria, Damsyik.

Pesawat tersebut terbang menuju ke pengkalan udara Khmeimim di Syria yang dikendalikan Rusia sebelum Assad menuju ke Moscow, berkemungkinan menaiki sebuah pesawat tentera, dakwa sumber itu.

Difahamkan Presiden Rusia, Vladimir Putin secara peribadi meluluskan rancangan menyelamatkan al-Assad namun tidak terdapat rancangan untuk menemui sekutunya itu yang kini dalam buangan.

Ejen kerajaan Rusia meyakinkan al-Assad untuk meninggalkan Syria dengan segera selepas semakin jelas beliau akan mengalami kekalahan dengan pembangkang, menurut sumber Kremlin.

Laman sesawang penjejakan penerbangan, Flightradar24 memaparkan sebuah pesawat yang dipercayai membawa al-Assad yang meninggalkan Damsyik pada awal Ahad lalu.

Pesawat tersebut menghala ke Laut Mediterranea sebelum membuat pusingan-u dan hilang daripada peta.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov mendakwa al-Assad dibawa keluar dari Syria ‘menerusi cara paling selamat’ pada hujung minggu.

Bercakap kepada NBC News, Ryabkov berkata: “Beliau (al-Assad) selamat, dan ini menunjukkan tindakan Rusia dilakukan seperti yang diperlukan dalam keadaan luar biasa ini,”.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast