KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan penangkapan dua rakyat Malaysia berusia 43 tahun oleh Polis Diraja Thailand (RTP), termasuk seorang dalang sindiket penipuan pelaburan yang memiliki aset bernilai lebih 5 bilion Baht (RM657.90 juta).
Seorang lagi rakyat Malaysia berusia 26 tahun ditahan bersama tujuh suspek warga Thailand dalam beberapa serbuan yang dilakukan di wilayah Sadao, Songkhla dan Bangkok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan pelaburan yang dikenali ‘Nichare’ disyaki memperdaya lebih 50 mangsa mengakibatkan kerugian 800 juta bath (RM105.26 juta).
“Pada masa ini, JSJK sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Thailand dalam mengesan rangkaian sindiket berkenaan yang turut beroperasi di negara ini.
“Berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima dari polis Thailand, hasil daripada tangkapan sembilan suspek terbabit pihak berkuasa itu kemudian membuat serbuan susulan di satu pusat panggilan di Bangkok.
“Hasilnya, mereka dipercayai berjaya menahan tiga lagi individu yang kemudiannya difahamkan sebagai lelaki warga Malaysia,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ramli, siasatan mendapati mereka memiliki rekod jenayah lampau.
“Hasil semakan awal kita (JSJK) suspek rakyat Malaysia 42 tahun ini adalah dalang utama kegiatan penipuan pelaburan Nichare di negara ini dan Thailand.
“Ini kerana mereka didapati menggunakan jaringan penajaan penipuan yang sama dalam memerangkap secara transnasional di Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Kemboja,” ujarnya.
Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya menerima 70 laporan penipuan pelaburan Nichare dengan kerugian berjumlah RM14, 377,066.14 untuk tempoh September tahun lalu sehingga 12 Mac lalu.
Katanya, sebanyak 52 kertas siasatan dibuka dan pihaknya sedang mengenalpasti dan mengesan saki-baki suspek yang berada di negara ini. – MalaysiaGazette