CYBERJAYA – Kerajaan tidak ada sebarang kuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok milik individu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Katanya, aplikasi berkenaan bukan hak kerajaan dan sekiranya sesuatu konten itu diturunkan atau disekat ia bukanlah arahan yang dibuat olehnya.
Beliau berkata, ketika penggulungan di Parlimen semalam, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan rasa tidak puas hati terhadap jawapan yang diberikan.
“Beliau (Radzi) beranggapan seolah-olah saya tidak menjawab soalan diberikan mengenai beberapa konten yang disekat.
“Di dalam dewan sewaktu kita menggulung kebiasannya bersifat dinamik, walaupun ditanya empat atau lima soalan kadang-kadang jarang dijawab semuanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Peluncuran Penyelesaian E-Farmasi Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Elektronik Generasi Baharu daripada TM di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi TM, Datuk Zainal Abidin Putih.
Fahmi berkata, beliau mengambil kesempatan untuk menyatakan, walaupun pihak Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai contoh memohon supaya sejumlah kandungan diturunkan tetapi yang memutuskan perkara tersebut adalah platform itu sendiri.
Sebagai contoh beliau berkata, walaupun TikTok diminta untuk menurunkan sesuatu konten tetapi, semestinya platform itu menurunkannya.
“Jadi, itulah sebabnya kenapa saya tidak menyatakan di dalam dewan semalam dan berharap agar Radzi tidak membuat sebarang tuduhan,” katanya.
Beliau menambah, Radzi mungkin masih berasa panas hati dan beliau juga sudah membuat TikTok baharu. – MalaysiaGazette