Mohd Thaqib Asbar sedang fokus mengukur kain bagi menyiapkan tempahan.

KUALA LUMPUR – Sudah menjadi kelaziman saban tahun, tukang jahit tentunya sibuk menyiapkan tempahan baju raya sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.pZASDU

Bagi tukang jahit, Mohd Thaqib Asbar, 29, yang berasal dari Johor Bahru berkata tempahan baju raya sudahpun ditutup tiga minggu sebelum menjelang bulan Ramadan.

“Baju Melayu teluk belanga paling lama nak siapkan, nak jahit tulang belut ambil masa. Satu hari boleh siapkan dua baju sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang mesra disapa Aqib berkata, meskipun terdapat persaingan perniagaan baju siap di pasaran, namun tempahan baju raya tahun ini meningkat berbanding tahun lepas.

Dan 60% pelanggan yang diterima merupakan warga Singapura.

Menurut Aqib, warna merah bata dan ungu cair menjadi warna kegemaran rata-rata pelanggannya tahun ini.

“Tahun ini merupakan tahun ke sembilan saya menceburi bidang jahitan ini. Menjadi tukang jahit memang cita-cita saya sejak dahulu.

Mohd Thaqib Asbar, 29, atau mesra dipanggil Aqib

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mengikuti pengajian di GiatMara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sebelum mula bekerja pada usia 20 tahun.

Sepanjang bekerja, Aqib pernah berhadapan dengan detik cemas apabila baju raya pelanggan rosak terkena seterika.

“Esok nak raya, petang tu saya gosok baju pelanggan sebab pelanggan nak ambil.

“Entah macam mana, baju tu berlubang terkena seterika, saya kelam-kabut tak tahu nak buat apa.

“Akhirnya saya gantikan baju pelanggan tu dengan kain baharu, nasib baik saya jumpa kain yang sama,” ujarnya.

Aqib juga menjalankan bisnes sampingan menjadi model baju Melayu Asyrafislam Collection dan menjualnya dalam talian melalui aplikasi Tiktok dan Instagram.

“Tahun ni kami keluarkan 600 helai sahaja dan setakat ni 400 helai dah terjual,” katanya. – MalaysiaGazette