Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat (empat,kiri) mengacau adunan bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Anjung AUEGCAS, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MAC 2024.

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan tradisi pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sehingga kini pihaknya masih menanti berita gembira berkenaan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan pemberian BKKA telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

“CUEPACS memohon kepada Perdana Menteri supaya mengekalkan tradisi sepanjang sepuluh tahun lalu iaitu memberi bantuan khas sempena Aidilfitri kepada penjawat awam setiap kali menjelang perayaan berkenaan.

“Sehingga kini kerajaan masih belum mengumumkan perkara berkenaan dan kami merayu agar ia diumumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Program Bubur Lambuk Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Anjung AUEGCAS, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan keluh-kesah peniaga terutamanya di bazar Ramadan dan Aidilfitri yang kurang mendapat sambutan ekoran kuasa membeli penjawat awam berkurangan.

Ujar beliau, ini kerana kebanyakan penjawat awam bergantung kepada pemberian bantuan khas kewangan berkenaan dalam melakukan persediaan menyambut kedatangan perayaan umat Islam tersebut.

“Dengan adanya bayaran BKKA ini, sekurang-kurangnya bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi juga untuk mereka yang berada di luar sana terutamanya peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang timbul setiap sebulan dalam setahun.

“Jadi bayangkan jika penjawat awam tidak ada kelebihan dalam bentuk bayaran insentif seperti BKKA maka kami tidak mampu memberi dan akhirnya pusingan ekonomi kepada peniaga tidak berlaku.

“Jadi kami merayu supaya bantuan khas Aidilfitri ini mampu diberi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri sebagaimana tradisi tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Awal Mac lalu media melaporkan CUEPACS mengalu-alukan sekiranya kerajaan memberikan BKKA kepada penjawat awam dan pesara kerajaan, sempena sambutan Aidilfitri, April nanti.

Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang pengumuman dibuat Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian yang dilaksanakan bertahun-tahun selama ini. -MalaysiaGazette