Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr. Muhamad Akmal Saleh mengajak rakyat Malaysia untuk ‘mengajar’ rangkaian pasar raya yang menjual stoking tertera kalimah Allah.

Menurut beliau, permohonan maaf pemilik rangkaian pasar raya tersebut tidak seharusnya diterima dengan mudah.

Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka bertegas, pemilik pasar raya tersebut perlu menyedari nilai dan sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Buat dulu lepas tu minta maaf. Semudah itu sahaja. Kalau Starbucks kita boleh boikot sampai tutup, apatah lagi pasar raya ini

“Hormat ini bukan hanya sekadar minta maaf tetapi perlu tahu apa nilai dan sensitiviti orang lain. Kita ajar kepada yang kurang ajar! Kasi jadi!” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Sebelum ini tular di media sosial penjualan stoking tertera kalimah Allah.di sebuah cawangan pasar raya terkenal.

Para pengguna mengecam penjualan produk tersebut sebagai tidak peka sensitiviti agama Islam di negara ini.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka itu kemudian memohon maaf selepas stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah dan dijual di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya tular di media sosial.

Menurut pasar raya itu, produk tersebut adalah produk ‘consignment’ daripada pihak vendor.

“Kami juga sudah berhubung dengan pihak vendor untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini.

“Kami juga berterima kasih di atas keprihatinan warga umum yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu ini. Sekali lagi, kami memohon maaf dan akan memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast