KUALA LUMPUR – Kegiatan dua bengkel kenderaan secara haram di Gombak, Selangor dengan membeli dan meleraikan kenderaan dan menjualnya semula sebagai alat ganti terbongkar dalam dua serbuan berasingan, baru-baru ini.
Ketua Penolong Pengarah D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pada serbuan pertama pihaknya mendapati bengkel itu beroperasi secara haram selama enam tahun ini tanpa mempunyai lesen perniagaan yang sah selain tidak membayar cukai.
Tambah beliau, premis berkeluasan satu padang bola sepak itu yang bermodalkan RM20,000 pada 2019 mengaut keuntungan hampir RM150,000 hingga mencecah RM200,000 setahun dengan keuntungan mencecah RM1.2 juta untuk tempoh enam tahun.
“Semakan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak mendapati bengkel itu mempunyai tunggakan sewa yang mencecah RM576,000 sepanjang enam tahun lalu dengan kadar RM8,000 sebulan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Shanmugamoorthy, suspek akan membeli kereta terpakai, kereta yang ditinggalkan, kereta yang rosak, kereta tender insurans dan kereta yang tidak membayar ansuran bulanan.
Tambah beliau, suspek akan meminta salinan geran kereta dan salinan kad pengenalan pemilik dari ejen yang menjual kenderaan itu.
Katanya, kenderaan tersebut akan dileraikan dan kemudian menjual sebagai komponen kenderaan kepada individu atau kedai-kedai alat ganti kereta.
Shanmugamoorthy berkata, menerusi serbuan itu, pemilik bengkel dan 13 pekerja ditahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memiliki barang curi yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda.
Jelasnya, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 kerana tidak memiliki lesen perniagaan barangan lusuh yang membolehkan beliau didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun.
“Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan harta curi yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) kerana gagal memberi keterangan berkait barangan curi yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Shanmugamoorthy berkata, pemeriksaan membawa kepada rampasan tiga kereta iaitu jenis Perdana, Hyundai Elantra dan Kia Spectra yang mana nombor chasis kenderaan tersebut telah diganggu (tempered) untuk dijadikan kenderaan klon bagi tujuan menjual semula.
Selain itu, katanya, polis turut merampas Toyota Alphard yang disyaki kenderaan curi.
Shanmugamoorthy berkata, dalam serbuan kedua, pihaknya menahan tiga warga asing yang diberja di sebuah bengkel haram tanpa mempunyai dokumen pekerjaan yang sah.
Katanya, kes di siasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan.
Jelasnya, semua tangkapan membabitkan kedua-dua bengkel kereta itu serta barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette