Empat pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki dieksploitasi oleh tiga ejen tawar bayaran dan PLKS diselamatkan JIM di Petaling Jaya semalam.Ihsan JIM Putrajaya

PUTRAJAYA – Tiga ejen yang menawarkan khidmat pembantu rumah dengan bayaran sehingga RM20,000 termasuk menjanjikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) disyaki terlibat eksploitasi wanita Indonesia ditahan dalam serbuan di Petaling Jaya semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tiga ejen itu ditahan sepasukan Unit Risikan Operasi, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Operasi yang dibuat kira-kira jam 10.30 malam itu menahan seorang lelaki dan wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia.

“Pasukan serbuan itu turut menyelamatkan empat wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 51 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan tiga ejen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin menambah, kesemua mereka menjadi mangsa eksploitasi berkait dengan penipuan pekerjaan, tidak dibayar gaji atau upah, pergerakan dikawal serta pasport dipegang.

Lelaki dan wanita yang disyaki ejen menawarkan bayaran dan PLKS serta eksploitasi pembantu rumah warga Indonesia berjaya diberkas dalam operasi di Petaling Jaya semalam. Ihsan JIM Putrajaya

Ejen ini didapati aktif menjalankan aktiviti mengurus kemasukan, merekrut serta menawarkan perkhidmatan pembantu rumah.

Kata Ruslin, ejen berkenaan kemudian akan menempatkan mangsa iaitu pembantu rumah yang direkrut itu di sebuah rumah yang berada dalam kawalan dan pemantauan mereka.

“Siasatan kami mendapati ejen ini menawarkan khidmat pembantu rumah dengan mengenakan bayaran sebanyak RM14,000 hingga maksimum RM20,000 termasuk menjanjikan PLKS yang dikatakan boleh diuruskannya.

“Urusan dengan bakal majikan dibuat melalui penghantaran gambar pendaftaran syarikat, gambar pembantu rumah dan pasport melalui aplikasi WhatsApp dan mengatur perjumpaan jika bakal majikan ingin meneruskan pengambilan pembantu rumah.

“Ejen berkenaan berbuat demikian bagi meyakinkan bakal majikan kononnya segala urus niaga itu dibuat menerusi cara yang sah oleh agensi pekerjaan berdaftar.

“Aktiviti berkenaan sejak empat tahun lalu dan dipercayai boleh mengaut keuntungan dianggarkan antara RM80,000 hingga RM90,000 setahun,” katanya.

Kesemua ejen berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Jika sabit kesalahan, mana-mana individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

Malahan bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM yang disabitkan kepada majikan, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta ATIPSOM.

Ruslin berkata, JIM akan terus melaksanakan operasi ini untuk membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara holistik tanpa sebarang kompromi.

“Pada masa sama, kerjasama masyarakat juga diperlukan dengan terus menyalur maklumat kepada pihak imigresen dengan menghubungi Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA sekiranya terdapat maklumat warga asing yang dieksploitasi agar tindakan undang-undang boleh diambil,” kata Ruslin lagi.- MalaysiaGazette