Enam individu ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT – Enam remaja yang melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal ditahan dalam satu Op Samseng Jalanan di Km 19 Jalan Kluang-Batu Pahat, awal pagi ini.

Menurut kenyataan polis Johor, operasi itu dilakukan ekoran pelbagai aduan  diterima membabitkan samseng jalanan yang mana berlaku aktiviti berlumba di kawasan sekitar.

“Hasil risikan mendapati, penunggang motosikal  melakukan aksi meniarap, zig-zag yang mana aksi itu dibimbangi bukan sahaja membahayakan kepada diri sendiri malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua mereka yang berumur lewat 20-an itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke balai polis trafik Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Akta tersebut memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette