Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM1.22 bilion kerugian direkodkan berpunca daripada jenayah penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu melibatkan 34,497 kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12,851 kes telah dituduh di mahkamah.

“Berdasarkan statistik tahun 2023, kes penipuan jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), tipu penyamaran dalam talian dan tipu panggilan telefon telah mencatatkan kes tertinggi berbanding kes-kes yang lain.

“Kes-kes ini sahaja merekodkan 10,348 kes dengan kerugian berjumlah RM352.9 juta dengan 3,057 kes dituduh di mahkamah,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar menambah, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“‘Sepanjang tahun 2023, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan NSRC dengan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM105 juta.

“Daripada jumlah itu, 17.5 juta berjaya disekat sebelum dikeluarkan penjenayah manakala RM178,407.93 jumlah sitaan telah berjaya dipulangkan kepada mangsa,” ujarnya.

Selain itu, Shamsul Anuar berkata, pelbagai usaha dijalankan PDRM dalam mengekang jenayah penipuan dalam talian termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam penipuan.

Antara inisiatif PDRM dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian adalah seperti menyediakan perkhidmatan portal Semak Mule bagi membolehkan masyarakat membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan siasatan pihak polis.

Selain itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turutmenyediakan perkhidmatan CCID Infoline (013-2111222) untuk masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan penipuan dan jenayah komersil.

“JSJK juga telah mewujudkan platform media sosial (Facebook, Instagram dan TikTok) JSJK PDRM serta Cyber Crime Alert untuk menyampaikan maklumat dan info semasa mengenai scam.

“Menjalankan usahasama dengan agensi swasta dari sudut mengenalpasti nombor-nombor telefon yang telah disenarai sebagai scammer oleh pihak penguatkuasa dan melaksanakan kempen-kempen kesedaran masyarakat secara berterusan,” katanya.

Pada masa sama, Shamsul Anuar memberitahu, sepanjang tahun lalu sebanyak 1,610 pameran dan 3,727 ceramah dilaksanakan dalam memberi kesedaran kepada masayarakat. – MalaysiaGazette