Mohamed Usuf (tiga dari kanan) menunjukkan dadah bernilai RM855,101 yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sembilan suspek termasuk sepasang suami isteri membabitkan tiga sindiket dadah berbeza diberkas polis dalam beberapa serbuan sekitar negeri ini antara 14 Mac hingga Ahad lalu.

Serbuan yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu membawa kepada rampasan dadah keseluruhan bernilai RM855,101.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, operasi pertama membabitkan penahanan sepasang suami isteri dan lelaki berusia antara 36 hingga 41 tahun pada Khamis lalu.

Suspek pertama yang juga pemilik sebuah pusat hiburan itu ditahan di kawasan parkir di Tanjong Tokong bersama lima paket ketulan kristal seberat 5,170 gram (g) bernilai RM170,610 sebelum menahan isterinya di sebuah rumah di Gelugor.

Mohamed Usuf (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

“Ketika serbuan di rumah wanita itu, pihak polis merampas empat paket ketulan kristal seberat 4,140g bernilai RM136,620.

“Susulan itu, kita menyerbu sebuah lagi rumah di Sungai Dua di sini, yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki dipercayai ahli sindiket berkenaan.

“Hasil risikan mendapati ketiga-tiga mereka aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Februari lalu dan kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 21 Mac bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Turut disita dalam serbuan itu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), motosikal, barang kemas serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM99,602.

Bagi tangkapan sindiket kedua, Mohamed Usuf berkata, tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia 50 tahun yang bergerak secara solo dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Kita melakukan serbuan di unit apartmen di Batu Lancang dan Jalan Datuk Keramat di sini, sebelum merampas sejumlah dadah jenis Ekstasi, Erimin 5 dan Methylenedioxymethamphetamin (MDMA).

Dadah MDMA yang dirampas dipercayai untuk dijua kepada pengunjung pusat hiburan negeri ini antara harga RM200 hingga RM2,000 mengikut campuran dadah.

“Siasatan kita mendapati kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan suspek menghasilkan MDMD dalam pek minuman untuk dijual kepada pengunjung pusat hiburan di negeri ini.

“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis ketamin selain dia mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM 223,315 dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Mac ini bagi siastaan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Usuf berkata, operasi ketiga membabitkan penahanan empat lelaki tempatan dan wanita warga Thailand berusia 23 hingga 35 tahun di sebuah apartment di Jelutong.

Katanya, menerusi serbuan itu sejumlah dadah jenis MDMA, Erimin 5 dan ketamin yang bernilai RM326,686 dirampas.

“Siasatan kita mendapati dadah MDMA itu dijual kepada pengunjung pusat hiburan di negeri ini antara harga RM200 hingga RM2,000 bergantung kepada campuran jenis dadah.

“Dadah MDMA merupakan campuran beberapa jenis dadah yang menyebabkan pengguna kekal aktif dan ada yang tidak tidur lebih 48 jam sehingga mendatangkan bahaya terutama bagi pengguna berpenyakit.

“Sindiket ini aktif sejak Mac tahun lalu bagi pasaran tempatan. Empat warga tempatan mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah dan kesemuanya direman selama tujuh hari sehingga 23 Mac bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast