Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan jaminan siasatan terhadap pembaca berita yang mendakwa anggota polis sebagai kasar akan dibuat secara adil.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, pihaknya mengambil pendekatan untuk mendengar keterangan daripada kedua-dua pihak bagi mengetahui situasi sebenar mengenai dakwaan tersebut.

“Saya punya prinsip mudah iaitu dengar kedua-dua versi supaya kita berlaku adil dan kita dapat dari dua dua versi, ia termasuk versi pengadu dan versi anggota polis yang bertugas barulah kita boleh tahu kedudukan sebenar.

“Oleh kerana hal ini sekarang sedang diuruskan, kita tunggu keputusan, polis tidak selamanya betul dan pengadu juga ada buat silap.

“Jadi dalam kes ini, jelas di mana pengadu ada versi dia,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini menafikan dakwaan seorang penyampai berita dan pengacara televisyen yang  menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas.

Wan Azlan berkata artikel berita itu disiar berdasarkan laporan surat pembaca luahan personaliti televisyen terbabit yang tidak berpuas hati dengan cara anggota polis melakukan pemeriksaan terhadapnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589). – MalaysiaGazette