Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Rangkaian kedai serbaneka, KK Mart disaran supaya menutup dahulu perniagaan mereka di seluruh negara sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan isu stoking kalimah Allah.

Prrsiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, ia susulan kemarahan umat Islam yang masih membara walaupun permohonan maaf telahpun dibuat oleh pengurusan kedai serbaneka itu beberapa hari lalu.

Beliau difahamkan sudah lebih 42 laporan polis dibuat terhadap KK Mart setakat ini.

“Jika KK Mart benar-benar mengambil tanggungjawab sebagai tanda kekesalan atas apa yang berlaku maka tutup dahulu semua kedai outletnya.

“Ini juga sebagai langkah keselamatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ibrahim lagi, umat Islam adalah umat yang baik dan diajar supaya bersabar dan menerima apa jua takdir dari Allah.

“Namun, bila sudah hilang kesabaran tidak pasti apa akan berlaku. Umat Palestin dizalimi begitu lama oleh rejim zionis yahudi dan terus bersabar tetapi lihat apa yang terjadi.

“Umat Islam Malaysia yang merupakan penduduk majoriti tidak mahu Malaysia menjadi Palestin maka umat Islam sudah mula hilang sabar,” ujarnya.

Justeru, Ibrahim menegaskan, mencegah adalah lebih baik sebelum ia menjadi lebih buruk.

Katanya, sudah banyak peristiwa menghina Islam dan orang Melayu malah Raja-Raja Melayu turut dihina dan akhirnya diselesaikan dengan permohonan maaf.

“Umat Islam ingin noktahkan budaya buat ‘celaka’ kemudian ‘minta maaf’. Cukup adalah cukup,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast