Gambar hiasan

Oleh: Profesor Madya Dr Normaliza Ab Malik

HARI Kesihatan Oral (Mulut dan Gigi) Sedunia telah dilancarkan pada 20 Mac 2013 dan kini disambut setiap tahun pada tarikh 20 Mac di seluruh dunia. Pelancaran Hari Kesihatan Oral Sedunia telah dibuat oleh Persekutuan Pergigian Dunia atau lebih dikenali sebagai FDI World Dental Federation. Tarikh 20 Mac menandakan pelancaran kempen atau program- program tertentu selama setahun berkaitan kesihatan oral. Tujuan utama Hari Kesihatan Oral Sedunia dilancarkan adalah untuk meningkatkan kesedaran global mengenai kepentingan kesihatan oral. Ini termasuklah isu-isu berkaitan kepentingan kebersihan mulut dan gigi, serta langkah-langkah pencegahan penyakit berkaitan oral. Sektor kerajaan, sektor swasta, industri dan orang awam dapat berkerjasama untuk mencapai kesihatan oral yang baik, lebih sihat dan dapat menjalani kualiti kehidupan dengan selesa.

Pelbagai jenis program kesihatan oral dilancarkan seperti pemeriksaan dan rawatan pergigian di seluruh dunia. Pada tahun ini, antara kempen yang dilaksanakan adalah seperti acara larian untuk kesihatan oral sejauh 7km yang dijalankan di India, pemeriksaan kesihatan oral di sekolah-sekolah menggunakan mobil van pergigian di Australia dan kempen meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan oral dan kaitannya dengan keradangan paru-paru (pneumonia) di Johns Hopkins Hospital, United State.

Di Malaysia, pada tahun ini Hari Kesihatan Oral Sedunia di sambut dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan gigi di seluruh negeri. Kempen atau program kesedaran kesihatan pergigian sering dianjurkan menjelang Hari Kesihatan Oral Sedunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Pergigian). Kempen ini bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan kesihatan oral, mempromosikan langkah pencegahan, dan meningkatkan kesedaran terhadap masalah kesihatan oral.

Selain itu, program lawatan dibuat ke intitusi pendidikan, pusat-pusat komuniti dan tempat tumpuan awam. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah termasuk pemeriksaan oral, memberi pendidikan berkenaan kesihatan oral serta menjalankan aktiviti-aktiviti interaktif. Inisiatif interaktif ini menyasarkan golongan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa termasuk warga emas dengan mempromosikan amalan kebersihan oral yang baik dan menggalakkan pemeriksaan pergigian secara berkala. Turut dijalankan saringan kesihatan pergigian secara percuma oleh klinik-klinik pergigian swasta dan fasiliti kesihatan kerajaan yang terlibat.

Orang awam digalakkan untuk mengetahui status kesihatan oral mereka dengan mengambil bahagian sepanjang kempen ini dijalankan. Langkah kerjasama di antara kerajaan dan swasta akan menjadikan penjagaan pergigian lebih mudah diakses oleh mereka yang menghadapi kesukaran mendapatkan perkhidmatan pergigian di samping menggalakkan mereka untuk mengutamakan kesihatan oral dalam kehidupan seharian. Media massa seperti surat khabar, televisyen, radio dan platform dalam talian memainkan peranan penting di dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti Hari Kesihatan Oral Sedunia dengan menyampaikan informasi berkaitan kesedaran kesihatan oral serta menggalakkan penyertaan di dalam kempen dan program yang diadakan.

Masalah pergigian seperti kerosakan gigi, keradangan gusi dan kehilangan gigi merupakan masalah yang boleh dicegah dan dielakkan. Kesihatan oral merupakan sebahagian dari kesihatan tubuh badan dan mempunyai hubungan secara langsung dengan penyakit kronik. Oleh yang demikian, kesihatan oral amat perlu diberi perhatian dan keutamaan. Dapatkanlah saringan agar masalah pergigian dapat dikesan awal dan diberi rawatan sesegera yang mungkin. Amalan penjagaan kesihatan pergigian perlu dipupuk dari kanak-kanak agar ia menjadi satu tabiat yang baik hingga meningkat usia. Lawatan ke klinik pergigian secara berkala dapat mengurangkan risiko kerosakan gigi yang teruk serta mencegah keradangan gusi dan kehilangan gigi. Maklumat berkaitan kesihatan oral boleh didapati di klinik-klinik pergigian kerajaan dan swasta, serta laman sesawang yang berkaitan.

Penulis dari Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia