Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menafikan hak kanak-kanak terbuang untuk mendapatkan status sebagai warganegara.

Jaminan itu diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menegaskan, istilah ‘dinafikan hak’ untuk mendapatkan kewarganegaraan perlu dihentikan.

“Sekarang kalau tak dapat (warga negara) cara Seksyen 19B (Bahagian III Jadual Kedua) (Perlembagaan), kita proses di bawah 15A, dia tetap dapat warga negara, tiada istilah dinafikan.

“Janji dimohon dan permohonannya lengkap. Hakikatnya adalah kalau tak diluluskan di bawah kuat kuasa undang-undang, ia tetap diproses dan dibuat keputusan di bawah perkara 15A,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai mekanisme bagi membolehkan bayi atau kanak-kanak terbiar diberikan kerakyatan automatik.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, kerajaan kini dalam proses sesi libat urus bagi mendapatkan formula terbaik dalam hal membabitkan warganegara.

“Bila sampai masa, kita akan sama-sama mengambil bahagian dalam isu warga negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast