Datuk Hussein Omar Khan (dua kiri) menunjukkan antara barang yang dirampas daripada sindiket judi online dalam sidang media di IPD Subang Jaya.

SUBANG JAYA – Sindiket judi dalam talian terbesar yang mengaut keuntungan RM20 juta setahun di Selangor tumpas dalam serbuan Ops Dadu yang diadakan di Block A, Tingkat 1, Sky Park @ One City, USJ 25/1 dekat sini,Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan jam 3.15 petang itu, 83 warganegara tempatan dan seorang lagi warga asing berusia di antara 23 hingga 43 tahun telah ditahan.

Menurut beliau, sindiket berkenaan menggunakan syarikat berdaftar teknologi maklumat (IT) yang membangunkan pusat panggilan (CC) perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari Thailand, Brazil, China dan Vietnam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati, sindiket ini mula beroperasi sejak tiga tahun lalu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 105 telefon bimbit, 94 komputer riba, 6 buah kenderaan mewah dan wang tunai sebanyak RM15,849.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi seperti Apexplay, Play168, 168KJW, Betace dan Sealotto,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Tambah beliau, semua individu yang ditangkap itu bekerja sebagai pegawai IT dengan  gaji di antara RM5,000 hingga RM 20,000 sebulan.

“Sindiket ini membayar gaji semua pekerja mereka secara keseluruhan sebanyak RM320,000 sebulan. Kita percaya pekerja-pekerja ini mengetahui mereka bekerja mempromosikan dan membangunkan perjudian dalam talian ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak polis masih menyiasat ketua yang menguruskan sindiket berkenaan.

“Sindiket ini adalah sindiket besar yang jual platform CC kepada sindiket lain di luar negara. Kita percaya masih ada satu lagi lapisan yang jadi ketua sindiket dan ini masih dalam siasatan,” jelasnya.

Hussein berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari dari 19 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kalau ada keterangan yang cukup, kita akan buka siasatan ini di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (AMLA).- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast