PUTRAJAYA – Kaum minoriti termasuk Cina, India di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu dan bumiputera merupakan kaum terbesar di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu menerima kenyataan itu dengan semangat perpaduan dan bukannya penindasan.
“Kumpulan minoriti, Cina, India atau kumpulan suku kaum yang lain. Mereka harus terima kenyataan negara ini terasnya masih Melayu, majoritinya Melayu.
“Kita terima kenyataan itu dengan semangat perpaduan, pertahankan keadilan serta beri ruang dan hak kepada semua,” katanya dalam Bicara Eksekutif Malaysia Madani Penjawat Awam Tahun 2024 anjuran Akademi Kenegaraan di sini, hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, walaupun Melayu merupakan kumpulan majoriti, namun kaum itu menjadi hebat jika mempunyai sikap positif dan menekan minoriti lain.
“Tiada untungnya kita rasa nak menang dengan menanam bibit kebencian kepada orang lain.
“Menang kita kerana hebat kita, bukan kerana mencerca kaum lain, atau agama lain atau kelompok minoriti lain,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia khususnya orang Melayu boleh menjadi gagah dan hebat jika pemimpinnya bersih, berdisiplin dan mempunyai integriti.
“Bukan hebat Melayu itu untuk memijak dan memandang enteng kepada orang lain.
“Saya tekankan hari ini kerana kita kadang-kala tak habis dengan bicara ini, bicara ini tak memenangkan kita.
“Iman pun tak bertambah, ilmu pun tidak bertambah, akhlak pun tidak diperbaiki, ekonomi jauh lagi, yang menang hanya jeritan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette