KUALA LUMPUR – Mendapat durian runtuh pada bulan mulia ini sudah tentu tidak menjadi dijangka buat Dahlia Mohd Latif dan Siti Rohani Osman.
Kini kedua-duanya bergelar jutawan Bank Muamalat.
Pemenang Jutawan Sijil Simpanan Islamik (SSi) Siti Rohani, 36, yang berasal dari Gurun, Kedah menyifatkan rezeki RM1 juta diraihnya hari ini berkat usahanya menyimpan dengan bank tersebut sejak lapan tahun lalu.
Kata pemilik restoran itu, bukan hanya wang simpanan malah semua produk di bawah Bank Muamalat dilanggan atas keyakinan terhadap bank berkenaan.
“Semua wang simpanan, wang pendidikan anak saya dan untung kedai saya simpan di Bank Muamalat. Saya juga cuba produk lain juga di bawah bank ini. Saya sokong bank Islamik ini sebab memang bank yang terbaik bagi saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, seorang lagi jutawan yang diumumkan hari ini sebagai pemenang Superb Million, Dahlia, 61, berasal dari Kuantan, Pahang.
“Saya memang menyimpan wang dengan Bank Muamalat sejak tahun 2017, setiap bulan ada rezeki memang saya simpan secara tetap dengan bank ini.
“Mula-mula terkejut juga, dan berkat saya menyimpan, Allah nak bagi rezeki. Alhamdulillah,” katanya.
Dua wanita itu diumum sebagai Jutawan Bank Muamalat dalam Majlis Pelancaran SSi 2024: Edisi Femilang 25 Tahun yang diadakan hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Deposit Bank Muamalat, Wan Hosni Wan Kamal.
Beliau ketika menyampaikan ucapan berkata, sejak 29 Februari tahun ini, jumlah penyimpan SSi adalah melebihi 18,200 dengan jumlah simpanan melebihi RM105 juta.
Katanya, selepas menerima respon yang memberangsangkan, Bank Muamalat membuat keputusan meneruskan siri kedua SSI hari ini dengan menambah jumlah keseluruhan hadiah daripada RM3 juta pada tahun lalu kepada RM5 juta bagi tahun ini.
“Alhamdulillah SSi mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan. Jumlah kategori juga bertambah daripada 10 kepada 14 dan salah kategori baru adalah kategori khas untuk perniagaan kecil,” katanya.
Sejak diperkenal tahun lalu, seramai 754 pelanggan telah memenangi pelbagai hadiah lumayan menerusi cabutan Super Saver dan SSi 2023.
Cabutan itu adalah Superb Million; Superb bergaya; Superb Cash100K; Superb Travel; Superb Cash1000; Superb Pensioner; Superb Salary; Superb State, Superb New Gen dan cabutan khas SSi Millionaire.
Mengulas lanjut, Hosni berkata, cabutan-cabutan itu merupakan penghargaan kepada para pelanggan Bank Muamalat yang menyertai kempen SSi di samping terus menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pelanggan Bank Muamalat menyertai kempen ‘Raya Teristimewa Bersama’ yang turut menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Antaranya Kempen Kad Kredit-i PosPerks yang mana pulangan RM28 ditawarkan kepada pelanggan dan berpeluang menang motosikal Modenas Karisma 12s, Samsung TV 65″ Crystal UHD & B-Series Soundbar dan Samsung Jet Bot selain Robot Vacuum.
Turut diadakan Kempen Gadai Emas Menang Emas 2.0 (GEME 2.0) yang menawarkan hadiah barangan kemas emas bernilai RM100,000 untuk pemenang utama, barangan kemas RM75,000 bagi tempat kedua manakala barang kemas RM25,000 untuk pemenang ketiga,” katanya.- MalaysiaGazette