Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada Sidang Media Pengumuman Khas Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2024 di Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 12 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP mengesah bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh yang membidas KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP itu enggan mengulas lanjut mengenai perbincangan dalam pertemuan tersebut.

“Saya sudah jumpa Ahmad Zahid, (kandungan perbincangan) itu antara kita dan Ahmad Zahid,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Loke sebelum ini berkata, beliau sudah menyatakan pandangan DAP kepada Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis berbuka puasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan dan perwakilan asing di Istana Negara, Isnin lalu.

Sehari selepas itu, Loke berkata, DAP tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan Dr Akmal kerana KK Mart telah mengemukakan permohonan maaf serta mengakui kesilapan mereka.

“Jadi apabila permohonan maaf itu dibuat, sepatutnya kita menyelesaikan isu itu dengan baik dan membina jambatan. Kita merasakan isu sensitif ini perlu ditangani dengan berhemah.

“Saya sendiri telah menghubungi Pengasas KK Mart, Datuk Seri KK Chai yang kebetulan saya kenali beliau dan saya telah pun bantu dia mengaturkan satu pertemuan dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“KK Chai telah bertemu dengan pihak Jakim untuk memberikan penjelasan dan sebagainya. Jadi ada prosesnya dengan ada pihak berkuasa agama dan sebagainya yang akan menyiasat perkara yang berlaku,” katanya dalam sidang media pada Selasa lalu.

Akmal dalam kenyataannya menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan tunduk dengan mana-mana pandangan pemimpin bukan Islam dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Tegasnya sebagai umat Islam, Pemuda UMNO tidak akan tunduk pada mana-mana desakan termasuklah DAP.

Malah Akmal menyeru agar orang ramai terus memboikot KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial jualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuatnaik oleh pengguna.

Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dalam sidang medianya  memohon maaf berhubung penjualan stoking tersebut di beberapa cawangannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.