KUALA LUMPUR – Walaupun dibelenggu masalah kewangan, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus rancak mengikat pemain importnya apabila menyenaraikan pemain sayap lincah, Sony Norde bagi memperkasakan jentera tengah dan serangan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Berita kemasukan bekas pemain Melaka United (MU) dan Terengganu FC (TFC) dihebahkan melalui media rasmi pasukan pagi tadi sekali gus menamatkan spekulasi destinasinya pada musim baharu.
“KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Sony Norde. Pemain berasal dari Haiti dan cukup dikenali di Liga M ketika bersama Melaka United FC dan Terengganu FC ini memilki gerakan lincah dan mampu menghasilkan gol menakjubkan melalui rembatan padu ketika menewaskan lawan.
“Pemain berusia 34 tahun ini memilih berjuang di kem Sang Kenari untuk musim 2024/25 walaupun unit pemantau pasukan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat beliau sejak musim lepas lagi.”
KDA FA turut memaklumkan Sony Norde dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas pada pukul 4.30 petang ini.
Kelmarin, Kedah dan Kuala Lumpur (KL) City FC terjawabapabila diumumkan kedua-dua kelab Liga Super itu akan diberikan peluang beraksi dalam Liga Super.
Menurut kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), masing-masing gagal menyelesaikan 50 peratus daripada gaji tertunggak musim lalu meskipun sejumlah wang sudah dikeluarkan.
Bagaimanapun, peluang masih diberikan kerana isu tersebut masih dapat diselesaikan dengan Dewan Bandaraya KL sudah menghantar surat rasmi akan masalah itu sementara KDA FC sudah menghantar bukti sumber kewangan yang akan diterima.
“Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan,” tulisnya. – MalaysiaGazette