Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa botol makanan yang menggunakan logo halal tidak sah untuk tujuan perdagangan di sebuah premis di Kawasan Perusahaan Ringan Tupai, Taiping, semalam. Foto ihsan KPDN Perak

TAIPING – Sebuah premis memproses makanan ringan di Kawasan Perusahaan Ringan Tupai di sini, dikesan beroperasi menggunakan sijil halal tamat tempoh kira-kira 16 tahun lalu.

Perkara itu dikesan dalam pemeriksaan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Taiping sekitar jam 2.30 petang semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, menerusi pemeriksaan tersebut, pihaknya telah menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang ditandakan dengan logo halal tidak sah dan digunakan untuk tujuan perdagangan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu tamat tempoh pada 2008, namun masih digunakan pada paket pembungkusan produk keluarannya.

“Sehubungan itu, pasukan pegawai KPDN Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 208 unit produk makanan tersebut berserta label produk dan beberapa dokumen berkaitan.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM2,533,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sijil HALAL tamat tempoh 16 tahun lalu..2024 baru terjumpa.. Agak agak gaji dari 2008 yg diterima bagi makan anak dan isteri selama itu HALAL ke HARAM tu

Comments are closed.