MERSING – Penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan terdampar di pantai Pengudang di Pulau Bintan, Indonesia pada 15 Mac lalu merupakan nelayan Mersing yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat daripada Polis Republik Indonesia (Polri) mengenai penemuan tersebut yang dipercayai mangsa kru bot nelayan yang jatuh laut di Pulau Pemanggil pada 8 Mac lalu berdasarkan pakaian pada mayat tersebut.
“Susulan itu, pihak MRSC Johor Bahru telah membantu pengurusan bagi membawa ahli keluarga mangsa ke Pulau Bintan bagi proses pengecaman dan pengesahan mayat di Rumah Sakit Umum Daerah Raja Ahmad Tabib Provinsi Kepri-Tanjung Pinang,” katanya menerusi, kenyataan, hari ini.
Menurut Nurul Hizam, kakak mangsa telah membuat pengesahan bahawa mayat yang ditemui merupakan Muhamad Sufian Alwi, 32, yang dilaporkan hilang di laut sewaktu menarik pukat di perairan Pulau Pemanggil pada 8 Mac yang lalu.
Tambah beliau, mayat mangsa telah hanyut sejauh 86.3 batu nautika (160 km) daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette