Dewan konsert yang terbakar

MOSCOW – Pasukan Khas telah menahan empat individu yang disyaki melakukan serangan semasa konsert di Dewan Bandaraya Crocus, Krasnogorsk, dekat Moscow.

Mereka ditahan di wilayah Bryansk berhampiran sempadan Ukraine, kata Jawatan Kuasa Siasatan Rusia menerusi kenyataan, hari ini.

Agensi penguatkuasa undang-undang itu berkata, siasatan sedang dilakukan dan sekumpulan penyiasat dan pakar forensik berada di lokasi kejadian.

Para penyiasat sedang mengumpul bukti, mengkaji rakaman kamera pemantau dan bercakap dengan mangsa.

“Jumlah mangsa korban kini naik kepada 93 orang dan bilangannya dijangka meningkat,” kata jawatankuasa itu seperti dipetik Sputnik.

Menurutnya, punca kematian adalah daripada kecederaan yang diakibatkan tembakan dan racun daripada produk letupan, seperti yang ditunjukkan data awal.

Data tersebut menunjukkan suspek menggunakan senjata api automatik yang mana ia kini disiasat.

Siasatan fotensik senjata api yang digunakan turut membabitkan balastik, cap jari dan genetik sedang dilakukan.

Para penyiasat mengesahkan suspek menggunakan cecair mudah terbakar untuk memulakan kebakaran di dewan konsert.

Terdahulu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ketika konsert sebuah kumpulan muzik, Picnik sedang berlangsung.

Satu letupan juga kemudian dilaporkan di tempat kejadian, menyebabkan kebakaran besar.

Kementerian Kecemasan negara itu berkata, kira-kira satu pertiga daripada bangunan itu dijilat api dengan beberapa helikopter berusaha untuk memadamkan kebakaran.

Pejabat Peguam Negara Rusia berkata, beberapa orang yang tidak dikenali melepaskan tembakan sebelum konsert bermula dengan jawatankuasa penyiasat membuka kes jenayah berikutan kejadian itu, mengisytiharkannya sebagai “serangan pengganas.” – MalaysiaGazette