PBT Melaka menurutkan banner yang dipasang KK Mart. -Foto FB Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka menurunkan banner ‘Jualan Ihsan Rahmah Berkat, Tahun Melawat Melaka 2024’ yang dipasang oleh sebuah pasar raya KK Mart.

Menurut Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Dr. Muhammad Akmal Saleh, banner yang turut memaparkan wajah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu dipasang tanpa permit sah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu secara sinis berkata, KK Mart yang diselubungi kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah telah memasang banner yang ‘salah’.

“Kita minta dia naik banner minta maaf  tapi banner lain dia naikkan.Naikkan banner tanpa permit dari PBT dan kebenaran YAB Ketua Menteri untuk meletakkan gambar beliau pula tu.

“Maka kita minta PBT jalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Dr. Muhammad Akmal.

Pemuda UMNO yang diketuai beliau ketika ini menjalankan kempen boikot terhadap KK Mart di seluruh negara dan menggesa rangkaian pasar raya itu untuk memasang banner memohon maaf kepada umat Islam.

Beliau sebelum ini menjelaskan tindakan melakukan boikot terhadap KK Mart bukan kerana mahu menjadi ‘hero’ tetapi sebaliknya disebabkan mempertahankan agama daripada terus dihina.

“Buatlah jualan apa sekali pun, juallah barang murah macam mana sekali pun,kami tetap dengan pendirian kami dengan kekal #boikotKKmart

“Kami ada maruah yang bukan boleh dibeli! Terima kasih PBT negeri Melaka atas tindakan yang pantas,” kata beliau.-MalaysiaGazette.