Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah treler sebelum terperosok di bawahnya di Jalan Kilang Kaca, Lipat Kajang, Jasin, Melaka pagi tadi.

JASIN – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah treler sebelum terperosok di bawahnya di Jalan Kilang Kaca, Lipat Kajang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 pagi itu, mangsa, Ahmad Johari Mohamad Nin, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu lelaki berusia 60 tahun itu datang dari dari arah kilang kaca menuju ke jalan besar simpang keluar menghala ke Lipat Kajang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

“Kejadian berlaku apabila sebuah Proton Wira dari arah Lipat Kajang menuju kilang kaca gagal mengelak treler yang sedang keluar simpang menyebabkannya terperosok di bawah treler.

“Mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan akibat parah di kepala manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya, mayat kemudian dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular klip video berdurasi 44 saat seorang wanita gagal mengawal emosi apabila melepaskan marahnya kepada seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya di lokasi.

“Kau bawak lori macam mana, itu ayah kau la Man ayah kau…kau tak tengok orang ke,” raung wanita berkenaan memarahi pemandu treler terbabit yang tidak kelihatan.

Turut kelihatan beberapa anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah treler. – MalaysiaGazette