Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberikan laluan penuh kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk bertindak tegas menyiasat sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu bertolak ansur sebaliknya perlu bertindak tegas menyiasat isu terbabit mengikut jalur hukum sedia ada.

“Saya memberi laluan penuh kepada KPN (Tan Sri Razarudin) dan saya tidak akan campur tangan dengan sebarang urusan siasatan sebaliknya sentiasa menggesa untuk tidak bertolak ansur serta tegas untuk menyiasat sebarang perkara yang berlaku di luar jalur hukum.

“Dalam dakwah sendiri ada menyebut bahawa kita ini adalah pendakwah bukan penghukum. Yang menghukum ada kadi, ada hakimnya, yang akan mengikut jalur hukum dan kaedah undang-undang.

“Sebagai pendakwah sekali pun, kita tidak boleh mengatur atau menghasut rakyat untuk membenci atau bertindak sewenang-wenangnya.

“Peringatan ini cukup jelas, bahawa kita mempunyai pendakwaan, ada siasatan, ada jalur hukum yang bebas,” katanya selepas berucap dan menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama suami, Datuk Zamani Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri, Datin Seri Norhayati Musa; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu juga memaklumkan generasi masa sekarang perlu diasuh untuk menerima kenyataan yang keamanan yan sedang dinikmati rakyat berbilang kaum tidak berlaku sendiri.

Sebaliknya, kata beliau, generasi sekarang harus dididik dan diterapkan bahawa sejarah mengajar dengan menghadam segala pengorbanan pejuang terdahulu kita dalam mempertahankan keselamatan daripada ancaman.

“Sekarang dalam dunia kemajuan teknologi agak pesat ini kita perlu mengutamakan pemacuan ekonomi yang segar dan meyakinkan yang mana keperluan menarik pelaburan domestik dan asing dan terus meneroka teknologi baharu termasuk Kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan peralihan tenaga.

“Kesemua perkara ini perlu dititikberatkan kerana kita mahukan negara yang stabil dalam segala aspek selain keselamatan terus terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast