Cebisan kain buruk yang ditemui dalam bungkusan murtabak yang dibeli di bazar Ramadan di Desa Pandan, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 kepada pemilik gerai murtabak di bazar Ramadan di Desa Pandan susulan penemuan kain di dalam makanan tersebut seperti yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, KKM berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut.

Beberapa kesalahan lain yang dikenalpasti telah dilakukan oleh pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna.

Menurutnya, KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan telah diperiksa.

Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“KKM ingin mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.

“Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi dari kebiasaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya.

Tegas KKM, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM ingin menegaskan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) www.facebook.com/bkkmhq.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast