Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

KUALA LUMPUR – Notis merah tidak dapat dikeluarkan terhadap Ganesparan Nadaraja yang menghina agama Islam, Sultan Selangor serta menohmah polis kerana kesalahannya membabitkan isu agama dan perkauman.

Ia tidak tersenarai dalam Artikel 3, Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini pernah memohon notis merah kepada Interpol terhadap lelaki tersebut.

“Sehubungan itu, kita mengambil tindakan lanjut dengan meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasport milik Ganesparan pada November 2020 dan Imigresen telah membatalkan pasport individu itu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily menambah,  siasatan mendapati Ganesparan telah dikesan meninggalkan Malaysia pada 2017 dan tidak pernah kembali ke negara ini serta kini berada di salah sebuah negara di Eropah.

Jelas beliau, setakat ini, polis telah membuka sebanyak 22 kertas siasatan dibuka terhadap lelaki warga tempatan tersebut berkaitan kesalahan menghina institusi Diraja (3R), agama dan kaum dari 2017 hingga tahun ini.

“Ganesparan juga pernah didakwa secara in absentia (tanpa kehadiran) pada 2022 kerana menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah).

“Berkaitan video yang tular baru-baru ini, kita percaya ia dimuat naik dari luar negara. Kita akan profiling maklumat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan akan memperkemaskan kertas siasatan sebelum hantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan selanjutnya,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara dilaporkan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung video dimuat naik Ganesparan yang menghina menghina agama Islam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris selain membuat tohmahan terhadap PDRM.

Beliau dilaporkan berkata, PDRM akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkaitan pemilik akaun Facebook itu.

Siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan (KK) iaitu mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

“Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Selain itu, , polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298 KK iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.-MalaysiaGazette