Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan diberi penerangan dan melihat keadaan lalu lintas menerusi skrin Pusat Pemantauan Lalu Lintas di Persada PLUS, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 29 MAC 2024.

SUBANG – Keputusan memberikan tol percuma selama dua hari sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini adalah muktamad.

Jelas Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan membelanjakan kos yang besar iaitu sebanyak RM37.6 juta untuk membayar 33 syarikat konsesi bagi tujuan tersebut.

 “Kalau kita anggarkan RM38 juta sehari RM19 juta dibayar oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Jadi pada kali ini itulah yang diputuskan iaitu dua hari tol percuma pada 8,9 April. Itu keputusan yang dibuat oleh Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika meninjau persediaan PLUS menghadapi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri di Menara Korporat, Persada PLUS hari ini.

Justeru, Ahmad berharap supaya syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat khususnya yang bakal meraikan Syawal tidak lama lagi.

“Setiap yang percuma dibayar oleh kerajaan kepada pihak konsesi dan kita harap konsesi seperti PLUS akan melaksanakan khidmat dengan baik,” tambahnya.

Tol percuma selama dua hari iaitu 8 dan 9 April ini adalah membabitkan  pengguna lebuh raya bagi kenderaan persendirian (Kelas 1). – MalaysiaGazette