Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Laos berjaya menyelamatkan warga Malaysia berusia 19 tahun daripada sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan  pada 28 Mac lalu.

Kementerian Luar menerusi kenyataan berkata, mangsa diselamatkan di sebuah hotel berdasarkan maklumat dan laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga.

Menurut kementerian, mangsa diperdaya seorang warga asing yang dikenali di media sosial sebelum dibawa keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) pada 25 Mac 2024.

“Walau bagaimanapun, tindakan pantas Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane telah berjaya menggagalkan cubaan pihak sindiket untuk merekrut mangsa tersebut.

“Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane juga telah menghulurkan bantuan konsular dan mangsa telah dihantar pulang ke tanah air pada 29 Mac 2024,” katanya.

Atas kejayaan tersebut Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada PDRM di atas tindakan pantas dan
proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa selain kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane.

“Kementerian juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Laos yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu Kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan, termasuk kes yang terbaharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kementeria Luar menyarankan semua rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dalam isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket kegiatan jenayah ini adalah diminta untuk melaporkan kepada
pihak PDRM dan Kementerian Luar Negeri dengan kadar segera,” katanya. – MalaysiaGazett