KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan yang didakwa memperdagang seorang wanita berusia 29 tahun bagi tujuan eksploitasi seks pada 11 Mac lepas hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini.

Mohamad Fazley Jaafar, 29, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Bagaimanapun, rakannya yang juga seorang guru, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, mengekalkan pengakuan tidak bersalah dalam kes sama.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya Iffah Nabihah Mohd Ishak memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Semasa prosiding, Iffah Nabihah memohon agar tiada jaminan diberikan namun peguam Ghazali Ismail memohon budi bicara mahkamah untuk memberikan jumlah yang rendah atas alasan kedua-dua anak guamnya adalah ketua keluarga dan mempunyai isteri serta anak-anak masih bersekolah yang perlu ditanggung.

Mohd Zul Zakiqudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan Mohamad Fazley  serta Mohd Hasfyanizam masing-masing melapor di Balai Polis Kerteh dan Balai Polis Kuala Terengganu setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 21 Mac lepas, Mohamad Fazley mengaku bersalah selepas tiga kali menukar pengakuan bagi kesalahan itu dan mahkamah menetapkan hari ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya dan sebutan semula kes bagi Mohd Hasfyanizam yang diarah mendapatkan khidmat peguam untuk permohonan jaminan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar di sini pada 2.35 pagi 11 Mac lepas mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda. – Bernama