Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang warga Israel yang berada dalam tahanan polis dikawal ketat bagi mengelakkan cubaan membunuh diri atau mencederakan dirinya.

Sumber berkata, rancangan yang dibawa lelaki berusia 36 tahun itu ke negara ini boleh dianggap gagal.

“Apabila individu asing itu ditahan pada 27 Mac yang lalu, suspek itu sendiri sudah mengetahui bahawa sebarang perancangan atau misi yang dibawanya telah gagal dan dia sendiri mengetahui tentang risiko yang bakal dihadapinya sekiranya dapat kembali ke negara asal iaitu Israel.

“Maka, dengan mengambil kira faktor itu, semasa berada dalam tahanan ketika ini, kita tidak menolak kemungkinan suspek warga Israel ini sanggup mengambil apa juga risiko termasuk cubaan membunuh diri atau mencederakan dirinya sendiri dalam apa juga keadaan.

“Wujud juga kemungkinan suspek akan dibunuh oleh pihak berkuasa di negaranya sendiri (Israel) apabila identitinya sudah terbongkar di luar negara kerana dia boleh kini dikategorikan sebagai sudah tidak berguna lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengumumkan penahanan lelaki tersebut berkata, pihaknya turut merampas enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini.

Katanya, lelaki itu mendakwa dia mencari seorang penama warga Israel yang membabitkan isu keluarga untuk dibunuh namun beliau tidak mempercayainya dan mungkin terdapat agenda lain.

Suspek warga Israel itu memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis, namun seelpas soal siasat beliau menunjukkan pasport Israel milknya.

Menurut sumber, kawalan ketat juga diberikan kepada suspek bagi mengelak cubaan mana-mana pihak mendekati lelaki itu.

“Berbanding dengan tahanan kes jenayah lain, suspek Israel ini dikategorikan sebagai individu berisiko tinggi dan dikawal ketat setiap 24 jam oleh pegawai dan anggota polis yang bertugas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast