Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika majlis Penarafan Terminal KLIA2 sebagai Terminal Kelas A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang. Foto SYADILA AMARI, 01 APRIL 2024.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memanggil tender terbuka kepada kajian kebolehlaksanaan pembinaan landasan keretapi Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Indonesia bermula Mei ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, tender itu hanya melibatkan perkhidmatan perunding bagi projek tersebut.

“Ketika ini, apa yang kita akan laksanakan ialah satu kajian kebolehlaksanaan. Kajian ini akan dimulakan (tahun ini), kita akan panggil tender Mei nanti untuk khidmat perunding bukan tender untuk bina (Trans Borneo).

“Selepas itu kita akan dapatkan hasil kajian, baru kita akan tentukan hala tujunya,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Penarafan Terminal KLIA2 sebagai Terminal Kelas A di Hub Pengangkutan KLIA2.

Turut hadir Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj.

Hadir sama Ketua Pengarah, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif WCT Malls Management Sdn Bhd, Selena Chua.

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihaknya sedang memuktamadkan dokumen, malah tender kajian kebolehlaksanaan belum dipanggil.

“Kajian kebolehlaksanaan akan dipanggil tender tahun ini. Kita jangka kajian itu mengambil masa selama sembilan bulan.

“Kemudian baru kita tahu boleh dilaksanakan atau pun tidak dari segi komersial, teknikal dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast