Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesiahatan Malaysia (KKM) akan membawa cadangan kepada Kabinet agar pelatih Program Parallel Pathway boleh didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau berharap pindaan akta itu dapat dilakukan pada Jun depan berikutan kekurangan doktor pakar yang mendesak.

“Dengan itu, tertakluk kepada keputusan lanjut Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan Akta 50 berkenaan Program Parallel Pathway, KKM memberi sepenuh komitmen bahawa pelatih daripada Program Parallel Pathway yang telah menyelesaikan program tersebut dengan jayanya akan dijadikan berhak didaftarkan sebagai pakar di bawah Akta 50.

“Memandangkan kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di hospital kerajaan yang kian mendesak, KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada Jun 2024 bagi penguatkuasaan secepat mungkin,” katanya.

Dr. Dzulkefly sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Duta Besar Ireland ke Malaysia, Orla Tunney dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, David Wallace mengenai program itu.

Persetujuan telah dicapai agar kerjasama yang sedia terjalin antara KKM dan institusi-institusi terlibat akan diteruskan dan diperkukuh.

Sementara itu Dr. Dzulkefly berkata, latihan kepakaran melalui program sarjana dalam negara akan terus diperkasa agar program pembangunan kapasiti tempatan kian unggul.

“Sehubungan itu, KKM menggesa semua pihak agar memberikan sepenuh kerjasama demi kepentingan seluruh pemegang taruh, terutamanya pelatih Program Parallel Pathway dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.

“KKM menjamin kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat terus ditingkatkan di bawah gagasan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette