Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua majikan khususnya agensi kerajaan dan syarikat perbankan memberikan bonus raya kepada kakitangan masing-masing.

Beliau berkata, langkah kerajaan perlu dicontohi yang memberi bantuan kewangan selepas mengambil kira kos sara hidup dan bebanan yang terpaksa ditanggung penjawat awam ketika ini.

“Kalau yang belum, bagi pertimbangan untuk pekerja-pekerja lain, ratusan ribu di bawah kelolaan kita keseluruhannya supaya mereka dapat sedikit habuan, meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri.

“Ini termasuk bank-bank, bagilah pertimbangan, saya tak boleh arahan kerana urusan mereka masing-masing, tapi saya boleh beri gesaan, kalau boleh.

“Yang atas-atas jangan naik, tapi yang bawah naik cukup, belajar daripada keputusan kita, (gred) 56 ke bawah,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan kewangan RM250 pula akan diberikan kepada pesara berpencen dan tidak berpencen. – MalaysiaGazette