KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat seramai 20 pegawai kanannya.
Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, pertukaran itu berkuatkuasa 6 Mei ini.
Mendahului senarai pertukaran pegawai kanan itu adalah Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dilantik sebagai Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Manakala Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Nadma, JPM pula, Datuk Mohd Khairi Khairudin bertukar ke Terengganu sebagai ketua polis di negeri Pantai Timur itu menggantikan Mazli.
Selain itu, Ketua Penolong Pengarah E1, Cawangan Khas Bukit Aman, Pahlawan Shazeli Kahar pula bertukar sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur menggantikan penyandangnya, Datuk Abu Samah Mohd Noor yang akan mengisi jawatan Shazeli di Cawangan Khas Bukit Aman.
Dalam pada itu, turut bertukar Komandan Maktab Teknik PDRM, Bakri di Muar, Johor, Senior Asisten Komisioner Sulaiman Hussain yang diangkat ke Jabatan Pengurusan Bukit Aman mengisi jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (latihan) dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan turut bertukar ke Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan), Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin pula akan bertukar jawatan sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM di Bakri dengan memangku pangkat SAC selepas ini.
Kekosongan Zam Halim akan diisi oleh Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh dari Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebagai Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenda Heisham Harun menerima kenaikan pangkat kepada ACP dan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar.
Manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad pula akan akan menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Kota Setar dengan memangku pangkat ACP.
Manakala Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Kumaresan Muniandy bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri dengan memangku ACP dan akhirnya Ketua JSJK Perak, Superintendan Hasbullah Abd Rahman bertukar sebagai Ketua JSJK Selangor dengan memangku ACP. – MalaysiaGazette