Anwar (tengah) hadiri sesi taklimat Pembangunan Negeri bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pimpinan kerajaan negeri di Komtar, Pulau Pinang hari ini. - Gambar ihsan - FB CKY

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Salleh hanya dipanggil bagi membantu siasatan pihak polis dan bukannya ditangkap.

“Saya rasa bukan tangkapan, dia (Akmal) dipanggil untuk siasatan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Pemuda UMNO ditangkap di Sabah hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak  ang mencabar Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kedudukan dan parti.

“Isu-isu ini kalau betul ada masalah, seperti stoking serius bagi orang Islam (pihak berkuasa akan) siasat tangkap, dakwa. Kita jalan terus.

“Ini (termasuk) menyentuh kedudukan raja-raja terutamanya. Institusi negara tonggaknya mesti dipertahankan termasuk prinsip Perlembagaan hak Islam dan bukan Islam semua itu tertera dalam Perlembagaan.

“(Kalau) cabar itu kita akan ambil tindakan tegas. Kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum jangan pertikai,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Anwar menghadiri taklimat Pembangunan Negeri bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pimpinan kerajaan negeri di Komtar, di sini.

Terdahulu, Muhamad Akmal mendakwa, beliau telah memberi keterangan sebanyak dua kali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

Katanya, keterangan pertama mengambil masa dua jam bermula 10.40 pagi hingga 12.40 tengah hari dan dia kemudian dibenarkan untuk pulang.

Bagaimanapun, katanya, dia ditahan sekali lagi selepas memberi kenyataan kepada media.

Difahamkan keterangan tersebut diambil berkaitan dengan satu laporan polis berhubung Akta Hasutan membabitkan sebuah video. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast