KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian isu kursus kepakaran tidak diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Perkara itu disahkan oleh menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kata beliau, pihaknya mahu melibatkan KKM agar punca penyelesaian dan isu berbangkit lain dapat diselesaikan dengan segera.
“Semua hospital pengajar terletak bawah bidang kuasa KPT. Saya harap pertemuan ini akan dapat dilaksanakan pada selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Zambry juga mendedahkan akan berbincang dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad untuk menyelesaikan isu yang sama memandangkan daripada segi kuasa, ia terletak bawah KKM.
Difahamkan pertemuan itu juga akan melibatkan wakil Universiti Sains Malaysia (USM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Untuk makluman, baru-baru ini, seramai enam pakar patologi USM telah bertindak menfailkan saman terhadap MPM kerana tidak mengiktiraf kursus mereka untuk membolehkan mereka disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Seorang pakar neurologi Malaysia di Hong Kong dan sebuah kolej perubatan tempatan juga terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan pihak kawal atur itu.
Pelajar USM dan pakar neurologi itu berjaya mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mendengar kes mereka masing-masing pada 20 Jun dan 16 April manakala kes Universiti Lincoln masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan.
Selain daripada itu, difahamkan, terdapat desakan pembaharuan dalam MPM dari Persatuan Perubatan Malaysia, kumpulan Hartal Doktor Kontrak yang memperjuangkan kesejahteraan doktor muda dan Akademi Perubatan Malaysia.
Menteri juga mengesahkan beliau telah dimaklumkan tentang MPM yang enggan mengiktiraf program kepakaran tertentu selepas beliau mengambil alih KPT pada Disember lepas. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: