SUNGAI PETANI – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan bermain mercun di atas jalan raya sehingga mencetuskan letupan mercun dan bunga api lain berdekatan bazar Aidilfitri di Dataran Zero, Jalan Badlishah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, peniaga berusia 27 tahun yang merupakan pemilik mercun dan lelaki 24 tahun yang membakar mercun ditahan selepas insiden itu tular di media sosial.
“Kita terima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12 tengah hari tadi bersama satu video berdurasi 43 saat sebelum bertindak memberkas suspek.
“Berdasarkan siasatan awal, letupan berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis ‘happy bom firework’, namun mercun itu terbalik semasa letupan dan tersasar ke arah lambakan mercun lain.
“Timbul susasana cemas apabila berlaku letupan serta dentuman mercun dan bunga dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zaidy, tiada insiden membabitkan kecederaan orang awam dilaporkan dalam kejadian tersebut,
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957.
Terdahulu, tular video yang mencetuskan kerisauan orang ramai apabila berlaku letupan bunga api dan mercun di Dataran Jam Besar di sini.
Dalam kejadian jam 4.48 pagi itu, pengunjung dan peniaga dilihat melarikan diri sebaik mendapati letupan menjadi tidak terkawal.
Berdasarkan video kejadian yang tular, beberapa individu dilihat bermain bunga api di tepi jalan sebelum letupan itu menjadi tidak terkawal selepas ia meletup di bawah. – MalaysiaGazette