AMPANG – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya kini dalam peringkat akhir memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perubatan 1971.
Pindaan yang sama bertujuan menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan.
Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) berharap usaha itu akan membantu kerajaan memperkasa dan mengawal selia kedua-dua program berkenaan.
“Apabila sudah siap, saya amat berharap semua pelatih boleh didaftarkan.
”Ini bukan sahaja melibatkan mereka yang mengikuti PPP, malah turut melibatkan pelatih yang mengikuti program ijazah sarjana tempatan,” katanya selepas menyantuni pesakit di Hospital Ampang sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Sebelum ini, Dr Dzulkefly berkata, KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan akta itu selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Jun ini.
Untuk makluman, cadangan pindaan itu bagi memastikan pakar perubatan yang telah menamatkan latihan mereka di bawah PPP akan didaftarkan dan diiktiraf. -MalaysiaGazette